AFC B-23: Safawi Yakin Bawa Skuad Malaysia ke Bangkok, Seru Penyokong Hadir ke Stadium! Kapten pasukan Malaysia, Safawi Rasid menyeru seluruh peminat bola sepak agar memenuhi setiap kerusi tempat duduk di Stadium Shah Alam untuk perlawanan menentang pasukan China pada malam esok (26 Mac 2019). Sebelum ini menerusi laman sosial Ultras Malaya turut menyeru semua ‘Ekor Harimau Malaya’ membanjiri Stadium Shah Alam untuk menentang skuad China kendalian Guus Hiddink.
Ketika ini, pasukan kebangsaan B-23 dan China B-23 terikat 6 mata namun dibezakan jaringan gol dimana skuad Tembok Besar mengungguli dengan 13 jaringan tanpa bolos manakala skuad negara hanya 4 jaringan tanpa bolos. Menurut kenyataan Guus Hiddink, kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menang dalam perlawanan malam esok, namun beliau mengambil tindakan berhati-hati dengan barisan serangan Harimau Malaya.
AFC B-23: Safawi Yakin Bawa Skuad Malaysia ke Bangkok, Seru Penyokong Hadir ke Stadium!
Bagi Safawi Rasid termasuk rakan senegara menyifatkan perlawanan pada malam esok sebagai ‘pentas akhir’ buat pasukan Malaysia untuk merebut slot ke Piala Asia B-23 AFC 2020. Bagaimanapun pemain Johor Darul Ta’zim ini tidak mahu terlalu yakin namun beliau percaya skuad Harimau Malaya mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri.
“Kami satu pasukan akui aksi bertemu Laos sebelum ini kurang memuaskan. Jadi, kami amat berharap sewaktu bertemu China, kami akan beraksi lebih baik daripada sebelum ini.
“Kalau boleh kami mahu layak ke pusingan akhir di Bangkok tahun depan. Nak kata optimis atau tidak, bagi saya, kita mempunyai sedikit kelebihan berbanding China kerana beraksi di laman sendiri dan di hadapan penyokong sendiri.
“Apa pun, kami satu pasukan mengharapkan penyokong dapat memenuhi stadium dalam perlawanan itu nanti kerana bagi kami, aksi bertemu China ini ibarat seperti final. Jadi, kami perlukan sokongan padu anda semua,” katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian.
Bagi pasukan Malaysia tiada istilah mustahil dimana skuad kendalian Ong Kim Swee mampu menewaskan China berdasarkan beberapa keputusan di luar jangkaan sebelum ini. Untuk rekod, skuad kebangsaan B-23 pernah mengalahkan Korea Selatan B-23 dalam Sukan Asia 2018 dan termasuk menewaskan UAE B-23 dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan persahabatan.
Foto Kredit : FAM