Kedah FA Hantar 4 Pemain Muda Jalani Latihan Bersama Akademi Bolasepak Cardiff City. Menerusi kenyataan media daripada laman sosial Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan menghantar empat orang pemain muda mereka untuk menimba pengalaman dan berlatih selama sebulan bersama Akademi Bolasepak Cardiff City FC. Seperti mana anda tahu, Cardiff City merupakan kelab daripada Wales yang berkelana di Liga Perdana Inggeris.
Sebelum ini, Projek Kerjasama Pembangunan Bolasepak KFA-CCFC tersebut telah terjalin antara Kedah dengan kelab Cardiff City sejak 2015 lagi. Pemain yang terpilih ketika itu adalah bekas pemain Kedah, Akhyar Rashid, Mohd Loqman Hakim, Syazuan Hazani dan Osman Mohd Yusof.
Kedah FA Hantar 4 Pemain Muda Jalani Latihan Bersama Akademi Bolasepak Cardiff City
Kini projek khas ini telah memasuki siri keduanya dimana terdapat empat pemain terpilih iaitu 2 pemain skuad Piala Presiden iaitu Aminuddin Abu Bakar dan Muhammad Suhaimie Saad termasuk 2 orang lagi pemain skuad Liga Super Kedah, Muhammad Asri Mohamad dan Mohd Fazrul Danel Nizam bakal dihantar ke Akademi Bolasepak Cardiff City FC.
Penolong Jurulatih skuad Piala Presiden, Mohd Fauzi Nan sebenarnya turut dihantar ke Akademi Bolasepak Cardiff City FC. Walaubagaimanapun, Mohd Fauzi Nan terpaksa dikecualikan dari delegasi kali ini kerana sedang mengikuti pensijilan jurulatih Kelas A AFC di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Empat pemain muda Kedah tersebut akan bertolak pada 10 Mac ini dimana mereka akan mula menyertai latihan pasukan bawah 22 tahun Akademi Bolasepak Cardiff City sepanjang sebulan berkelana di sana.
Menerusi kenyataan KFA lagi, delegasi ‘ubi’ KFA ini yang akan diiringi oleh Naib Presiden KFA 1, yang akan bertolak pada 10 Mac ini dari KLIA jam 9:00 pagi melalui penerbangan Malaysia Airlines dari KLIA ke Heathrow akan pulang ke tanahair dijangka pada 10 April depan.
Sumber : KFA