KFA Sedia Hantar Lebih Ramai ‘Ubi’ Kedah Berguru di Luar Negara. Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menekankan dan memberi jaminan terhadap program pembangunan dengan menghantar lebih ramai lagi pemain-pemain muda ke luar negara bagi tujuan pendedahan dan menimba pengalaman.
Menerusi satu kenyataan daripada Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Samsudin berkata persatuan itu akan mengintai pemain dari kelompok skuad bawah 17 tahun Kedah digilap lagi potensi dengan menghantar mereka sama ada ke Cardiff City atau kelab Australia, Perth Glory.
KFA Sedia Hantar Lebih Ramai ‘Ubi’ Kedah Berguru di Luar Negara
“Sebenarnya KFA ada dua program sejak 2015 dengan Cardiff City dan Perth Glory. Jika tidak silap, kita telah menghantar pemain dua kali ke Perth Glory dan dua kali ke Cardiff City yang mana kita memilih dua pemain daripada pasukan Liga Super dan Piala Presiden.
“Dalam tempoh masa sebulan berada di sana itu, mereka berlatih dengan pasukan B-23 Cardiff City dan program ini bertujuan untuk projek pembangunan jangka masa panjang KFA.
Beliau berkata lagi selepas Bengkel Blueprint 50 Tahun Malaysian Football League (MFL), “Mungkin selepas ini ada lagi pemain dari Piala Belia atau bawah 17 tahun, kita akan hantar salah satu daripada dua kelab ini pada masa akan datang.”
Sebelum ini, empat pemain muda skuad Helang Merah iaitu Mohd Fazrul Danel, Mohammad Asri, Aminuddin dan Mohamad Suhaimie telah menjalani sesi latihan selama sebulan bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) di Akademi Cardiff City dan pulang ke tanah air pada Khamis lalu.
Dalam masa yang sama mengenai kehilangan khidmat empat pemain muda itu ketika Liga Malaysia sedang berjalan, Shahrul berkata lagi, “Memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan potensi, dan yakin program tersebut memberikan impak positif untuk jangka masa panjang skuad Helang Merah.”
Kredit : Foxsport Asia
Foto Kredit : KFA