FAM Tolak Rayuan KFA Mengenai Kes Tebus Kontrak, Pampasan Akhyar Kekal. Jika sebelum ini Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap keputusan Jawatankuasa Status FAM yang telah bermesyuarat pada 3 dan 4 Disember 2018 berkenaan penamatan kontrak pemainnya, Muhammad Akhyar Abdul Rashid melalui tebus kontrak.
FAM Tolak Rayuan KFA Mengenai Kes Tebus Kontrak, Pampasan Akhyar Kekal
Walaubagaimanapun menerusi portal rasmi FAM menyatakan keputusan rayuan KFA telah ditolak dan keputusan Jawatankuasa Status FAM tersebut adalah dikekalkan. Hal ini mengenai tuntutan daripada KFA terhadap Muhammad Akhyar untuk penamatan kontrak pemain melalui tebus kontrak telah diterima sepenuhnya dan beliau dibenarkan untuk menebus kontraknya bersama KFA dengan bayaran nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000.00.
Sebagai bayaran tambahan kepada KFA, mana-mana pasukan baharu yang menandatangani kontrak bersama beliau seterusnya dikehendaki membayar sebanyak RM75,000.00 kepada KFA untuk nilai pampasan latihan.
Untuk makluman, jumlah nilai pampasan yang ditetapkan di atas ini bukanlah diletak sewenang-wenangnya oleh FAM tetapi ia adalah berdasarkan artikel-artikel yang terkandung dalam Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM.
Jumlah RM210,000.00 itu adalah berdasarkan jumlah gaji Muhammad Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.
Jumlah RM75,000.00 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM.
Jumlah RM75,000.00 tersebut adalah nilai pampasan latihan yang menjadi wang tambahan untuk diperolehi KFA dengan mengambil kira nilai-nilai murni bolasepak. Untuk itu, secara keseluruhan KFA akan menerima sejumlah RM285,000.00.
Sumber : FAM