Farizal Harun Digantung 5 Perlawanan, JDT Didenda RM25 Ribu. Menerusi laman portal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan keputusan tatatertib, dimana penjaga gawang Selangor, Farizal Harun dikenakan penggantungan sebanyak lima perlawanan selain denda RM5,000 selepas didapati bersalah menumbuk muka pemain PKNP aksi Liga Super, 18 Mei lalu. Dalam aksi itu, Farizal Harun bertindak ganas dengan menumbuk muka Mohamad Al-Fateh Afandi dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Farizal Harun Digantung 5 Perlawanan, JDT Didenda RM25 Ribu
Selain insiden itu, Farizal Harun turut terlibat dengan insiden mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong Selangor ketika pasukan itu tewas 0-1 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu pada 24 Mei lalu. Bagi kesalahan itu, Farizal sudah mengemukakan permohonan maaf kepada semua penyokong pasukan itu selain bersedia menerima sebarang bentuk hukuman.
Sementara itu, dua lagi pemain iaitu Igor Zongic dari pasukan Terengganu FC dikenakan penggantungan tiga perlawanan manakala pemain UiTM FC, Zarko Korac digantung satu perlawanan kerana berkelakuan ganas semasa saingan Liga Super Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dikenakan denda sebanyak RM25,000 kerana penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertindak membakar mercun roket semasa serta sebelum perlawanan menentang Pahang pada 14 Mei lalu di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.
Sumber : FAM