JDT Kekal di Tangga Ke-36 Terbaik Asia, Ceres Negros Pintas Kedudukan Pertama ASEAN. Juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal dalam kedudukan ke-36 dalam AFC Club Rankings kemaskini terkini. Dalam kedudukan rantau Asia Tenggara, JDT berada di kedudukan ketiga terbaik manakala kelab Filipina, Ceres Negros FC berjaya mengatasi kedudukan Buriram United sebagai kelab ranking tertinggi di rantau ASEAN dalam kemaskini terkini Kedudukan Kelab AFC.
JDT Kekal di Tangga Ke-36 Terbaik Asia, Ceres Negros Pintas Kedudukan Pertama ASEAN
Menurut ranking yang diterbitkan oleh Footy Rankings, Ceres Negros telah memanjat tiga tempat ke atas untuk menjadi kelab ranking ke-31 di bawah AFC manakala juara Liga Thailand Buriram pula telah jatuh satu tempat di kedudukan ke-33 di Asia.
Kelab Filipina tersebut mendaki tangga teratas selepas kemenangan besar 5-0 ke atas Shan United di Piala AFC 2019 pada 1 Mei lalu. Lantaran itu, Ceres telah menempah tempat di separuh akhir Zonal ASEAN Piala AFC musim ini selepas memenangi perlawanan kelima mereka di peringkat kumpulan.

Sementara itu, kedua-dua pasukan yang beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC 2019 iaitu Buriram United dan Johor Darul Ta’zim sekadar mencatat satu kemenangan dan 3 kekalahan bagi Buriram manakala JDT hanya mencatat 1 mata selepas 4 perlawanan beraksi.
JDT akan menjadi tuan rumah perlawanan menentang juara Asia, Kashima Antlers pada 8 Mei di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.
Foto Kredit : JST