Johor Darul Ta’zim Memang Kebal, Terus Melebarkan Penguasaan Liga Super. Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Super musim 2019 selepas menewaskan The Fighters 2-0 dalam saingan ke-12 yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi. Pada perlawanan tersebut, skuad Harimau Selatan dilihat selesa menguasai permainan namun begitu banyak percubaan berjaya dikekang oleh pasukan tuan rumah.
Johor Darul Ta’zim Memang Kebal, Terus Melebarkan Penguasaan Liga Super
Skuad kendalian Benjamin Mora akhirnya berpeluang membuka jaringan pertama apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanannya, Corbin-Ong dijatuhkan kapten Felda United, Thiago Aquino pada minit ke-37. Pemain import daripada Brazil, Diogo Luis Santo dilihat tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan tendangan tersebut, sekali gus mendahului 1-0 di Jengka.
Bersambung pada babak kedua, pasukan JDT terus mempamerkan aksi bertenaga di halaman lawan. Ternyata perlawanan ini, Diogo menjadi duri dalam daging buat pasukan The Fighters apabila menggandakan jaringan hasil gerakan lincah di kotak penalti pada minit ke-62.
The Fighters yang dibimbing oleh Nidzam Jamil berusaha untuk bangkit merapatkan kedudukan, namun serangan yang dilakukan gagal disudahkan dengan jaringan gol. Pasukan tuan rumah terpaksa menerima kekalahan 2-0 di hadapan penyokong sendiri.
Juara bertahan, JDT terus melebarkan penguasaan di persada Liga Super 2019 dengan mengutip 30 mata selepas mengharungi 12 perlawanan dan selesa mendahului pencabar terdekat, Pahang dengan lima mata selepas pasukan Tok Gajah tewas mengejut 0-2 kepada Petaling Jaya City di Kelana Jaya semalam.
Sumber : Kosmo Online
Foto Kredit : JST