Trio Penyerang Berbahaya JDT, Mula Menemui Sentuhan Gol. Tiga pemain barisan hadapan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santo, Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid menemui sentuhan masing-masing buat skuad Harimau Selatan untuk musim 2019 ini.
Trio pemain ini telah menjaringkan 13 gol dari lapan perlawanan dengan purata 1.625 gol setiap perlawanan. Mereka juga kelihatan semakin berbisa dalam beberapa perlawanan sebelum ini dan cabaran yang hadir buat mereka adalah untuk lebih menyerlah lagi di hadapan gol.
Trio Penyerang Berbahaya JDT, Mula Menemui Sentuhan Gol
Diogo, pemain terkenal yang ditandatangani dari Buriram United selepas mendapat perhatian berdasarkan rekod cemerlang beliau di Thailand untuk empat musim yang lalu, terpaksa berhadapan dengan kecederaan di awal musim tetapi kini sudah mula menunjukkan sebab mengapa JDT mahukan khidmat beliau. Pemain kelahiran Brazil ini sudah menjaringkan enam gol dalam semua pertandingan termasuk dua gol dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Cabrera yang beraksi untuk musim ketiga bersama JDT sudah menjaringkan lima gol manakala penjaring terbanyak kelab untuk 2018, Safawi sudah menjaringkan dua gol. Secara keseluruhan, JDT sudah menjaringkan 18 gol dari lapan perlawanan dengan purata 2.25 gol setiap perlawanan. Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber /Foto Kredit : JST