Perubahan Format AFC, Skuad Harimau Muda B-23 Menjadi Mangsa – Serbegeth Singh. “Semua salah AFC dan tolonglah bangun jangan tidur lagi.”. Itu kritikan dilemparkan pengkritik bola sepak tempatan, Serbegeth Singh terhadap Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menukar format pertandingan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 pada saat akhir, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Muda B-23 tahun menjadi mangsa pengurusan lemah badan induk bola sepak Asia itu.
Berdasarkan format pertandingan yang telah diubah, AFC menetapkan keputusan menentang pasukan di tangga tercorot setiap kumpulan tidak akan dikira susulan penarikan diri pasukan Pakistan dalam Kumpulan F yang menyaksikan skuad Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC di Bangkok tahun hadapan.
Perubahan Format AFC, Skuad Harimau Muda B-23 Menjadi Mangsa – Serbegeth Singh
Berdasarkan keputusan perlawanan, skuad Kim Swee sebenarnya adalah calon terakhir daripada 16 pasukan yang layak jika semua aksi peringkat kumpulan diambil kira dengan Malaysia menewaskan Filipina 3-0, diikuti Laos 1-0 dan berjaya mengikat keputusan seri 2-2 dengan China.
Jika dilihat skuad Malaysia akan menduduki di tangga keempat terbaik daripada 11 kumpulan iaitu bersama Australia, Iran dan Arab Saudi, sekali gus menolak pasukan Syria ke tangga kelima berikutan Malaysia mempunyai kelebihan enam gol berbanding Syria yang hanya merekodkan lima jaringan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Menurut kata Serbegeth, perubahan format AFC sebenarnya ‘membunuh’ permainan bola sepak di rantau ini dan mereka (AFC) harus bertanggungjawab dengan ‘kemusnahan’ itu.
“Ini bukan menguruskan kejohanan peringkat sekolah atau kawasan perumahan, tapi ini pertandingan peringkat Asia yang tidak sepatutnya terjadi.“Banyak pasukan menjadi mangsa dengan kesilapan AFC menukar format apabila Pakistan menarik diri secara tiba-tiba, disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga.
“Mereka (AFC) kena ingat, setiap pasukan bertanding sudah mengeluarkan bajet yang besar semata-mata untuk layak ke pusingan akhir dan juga Sukan Olimpik yang mana ia menawarkan empat tempat ke Olimpik.
Jelasnya lagi kepada Arena Metro, “Jadi, kekalahan Malaysia bagi saya berpunca daripada AFC dan mereka kena bertanggungjawab dan betulkan segala-galanya. Jangan fikir jalan mudah atau jalan singkat kerana cara pengurusan AFC ini akan merosakkan bola sepak Asia.”
Kredit Sumber : Harian Metro
Foto Kredit : FAM