Revolusi Kelab JDT Bermula Dengan Menaik Taraf Padang Bola Sepak – TMJ. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim mula ditubuhkan pada tahun 2013 dan kini telah memasuki usia 6 tahun. Pasukan ini telah merangkul lebih daripada sepuluh kejuaraan dan kini menjadi sebutan media-media antarabangsa serta pemerhati-pemerhati bola sepak seluruh benua Asia dan dunia sejak persaingan Liga Juara-Juara AFC. Dunia kini melihat JDT sebagai kelab yang beraspirasi besar serta mempunyai perancangan masa panjang yang hebat.
Sepertimana kita ketahui disebalik kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) semestinya ada tulang belakang yang memberi dorongan dan sokongan untuk membangunkan kelab itu. DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau dikenali sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) adalah pemilik kelab JDT dan terlibat secara langsung dalam revolusi kelab tersebut. Sejak hari pertama baginda terlibat dalam revolusi JDT, aspek utama yang dititikberatkan adalah padang.
Revolusi Kelab JDT Bermula Dengan Menaik Taraf Padang Bola Sepak – TMJ
Dalam satu video yang dimuat naik dalam JOHOR Southern Tigers, baginda berkongsi berkenaan perkara pertama yang dilakukan ketika menubuhkan kelab tersebut. Menerusi dalam video itu, Tunku Mahkota Johor berkata sedemikian ;
“Semua orang nak jadi macam JDT. Perkara pertama yang saya lakukan semasa menubuhkan JDT adalah menaik taraf padang bola sepak.
“Kenapa? Kerana ini merupakan tempat bola sepak dimainkan, di atas padang. Sedihnya, orang lain tukar LED board, bangku simpanan, semua nak buat macam JDT. Sepatutnya perkara pertama yang perlu ditukarkan adalah padang.”
Selain padang di Stadium Larkin, baginda juga menumpukan usaha untuk membina pusat latihan bertaraf antarabangsa. Kini Pusat Latihan Padang Seri Gelam yang dibina menjadi perhatian bola sepak dari dalam dan luar negara dimana pemain Barcelona, Gerard Pique turut memuji fasiliti-fasiliti yang ada di pusat latihan tersebut.
Dalam video tersebut, TMJ berkata lagi, “Yang paling saya bangga di pusat latihan ini adalah dua perkara. Pusat pemulihan (recovery centre) dan padang bola ini.”
Kredit Foto/ Video : JST