TMJ Jawab Beberapa Soalan, Keluar Wang Sendiri RM12 Juta Untuk FAM. Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyangkal tanggapan segelintir pihak yang mengatakan baginda tidak menyumbang apa-apa kepada arena bola sepak tempatan sepanjang setahun memimpin Football Association of Malaysia (FAM) daripada Mac 2017 hingga Mac 2018.
Menerusi video sidang media daripada MFL menyatakan Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan baginda telah membelanjakan wang sendiri sebanyak RM12 juta bagi menangani masalah kewangan kronik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selain RM1.4 juta bagi isu saman melibatkan MP Silva terhadap FAM ketika baginda menjadi Presiden FAM pada tahun 2017.
TMJ Jawab Beberapa Soalan, Keluar Wang Sendiri RM12 Juta Untuk FAM
Baginda berkata demikian sebagai menyangkal tanggapan segelintir pihak bahawa baginda tidak menyumbang apa-apa kepada arena bolasepak tempatan sepanjang 365 hari memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia. Tunku Mahkota Johor turut menjelaskan baginda meninggalkan pucuk pimpinan FAM kepada Datuk Hamidin Amin dalam keadaan terbaik terutamanya dalam aspek kewangan dan penstrukturan semula sistem.
“Ramai juga yang mengatakan saya meninggalkan FAM (tanpa berbuat apa-apa). Kalau nak bercakap mengenai sumbangan saya kepada bola sepak semasa saya menjadi Presiden FAM, saya telah selesaikan semua hutang FAM.
“Saya tinggalkan FAM kerana ada peranan dan misi lebih besar untuk organisasi besar iaitu MFL (Malaysian Football League). Jadi apa yang telah buat untuk FAM adalah kalau kita tengok daripada segi struktur saya membawa (Pengarah Teknikal FAM) Peter De Roo, struktur jurulatih dan pasukan kebangsaan termasuk hutang-hutang FAM.
“Saya telah berbelanja RM12 juta iaitu duit saya sendiri pada tahun pertama di FAM di mana ketika itu FAM tiada duit dan dalam masa yang sama kes FAM dengan MP Silva, saya juga selesaikan satu kes di mana FAM akan disaman €1.4 juta (RM6.5 juta) dan akhirnya dapat dikurangkan kepada €300,000 (RM1.4 juta) di mana saya juga menggunakan duit saya sendiri dahulu untuk selesaikan kerana FAM tiada bajet.
“Sejurus daripada itu, saya tinggalkan FAM dalam keadaan baik dan serahkan kepada Hamidin sebelum saya mengambil alih MFL kerana itu adalah permintaan daripada semua pihak penaja dan rakan liga untuk melihat saya berada di situ di mana penaja lebih yakin terhadap saya berada di sini,” titah baginda dalam satu media khas di Hotel Thistle, Johor Bharu pada Rabu.
Tambahnya lagi, “Semasa saya menjadi Presiden FAM, matlamat dan agenda saya hanya satu iaitu mencipta dan penstrukturan semula sistem supaya peranan serta tanggungjawab FAM adalah untuk menjaga pasukan kebangsaan, jawatankuasa tatatertib, jawatankuasa status disiplin dan sebagainya untuk lebih kepada formal di mana bukan fokus khusus kepada liga.
“Jika kita lihat bola sepak yang berjaya dalam negara yang berjaya dalam bola sepak, persatuan mereka ada peranan tersendiri tetapi yang menguruskan liga adalah badan bebas.
“Jadi selepas membuat perancangan untuk mewujudkan MFL, ramai yang inginkan saya berada di MFL dan saya tidak boleh memegang dua jawatan kerana saya hanya boleh beri komitmen kepada salah satu jawatan itu.
“Apabila kebanyakan bajet, penajaan dan kerjasama menerusi MFL, saya menganggap lebih baik saya berada di MFL dan serahkan (Presiden) FAM kepada Hamidin yang merupakan seorang cukup komited untuk membangunkan bola sepak negara.”
Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail memberitahu pihak MFL sedang berusaha keras untuk membawa penaja dari luar negara datang melabur bola sepak tempatan.
“Insyaallah kita akan ada syarikat daripada luar negara dan saya tak boleh sebut nama syarikat tersebut kerana kita perlu mendapat pengesahan dahulu dan keyakinan daripada mereka untuk menaja bola sepak tanah air kita,” titah baginda.
Sumber : Foxsport ASIA, MFL