MFL Ubah Peraturan Penggunaan Pemain Import Dalam Saingan Piala. Menerusi satu mesyuarat pada 15 Mac lalu, Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan peraturan baru penggunaan pemain import dalam pertandingan berformatkan piala misalnya Piala FA dan Piala Malaysia bagi musim 2019. Tahun lalu, setiap pasukan sama ada daripada Liga Super mahupun Liga Premier dibenar menurunkan empat pemain import (maksima) dalam satu-satu perlawanan, namun musim ini berbeza sedikit.
Musim 2019, dalam satu kenyataan MFL memberitahu peraturan itu telah dipinda di mana pasukan Liga Super yang bertemu sesama sendiri dengan pasukan Liga Super lain boleh menurunkan lima pemain import manakala jika berdepan pasukan Liga Premier Malaysia atau pasukan amatur dari Liga M3, pasukan Liga Super boleh menurunkan empat pemain import di atas padang dengan seorang lagi pemain berada di bangku simpanan.
MFL Ubah Peraturan Penggunaan Pemain Import Dalam Saingan Piala
Manakala bagi pasukan Liga Premier pula mereka boleh menurunkan empat import apabila berdepan pasukan Liga M3, sementara pasukan Liga M3 pula dibenarkan turun dua pemain import sahaja.
Selain itu juga dalam mesyuarat tersebut, MFL turut memperkenalkan peraturan baru di mana tarikh pendaftaran pemain dilanjutkan selama 30 hari jika pasukan mereka dibatalkan pendaftaran oleh MFL.

Manakala peraturan pertandingan melibatkan pasukan yang terikat dengan jumlah mata sama semasa pertandingan, penentuan juara akan ditentukan berdasarkan turutan perbezaan gol, jumlah jaringan dan rekod pertemuan. Walau bagaimanapun, peraturan ‘fair play’ tidak lagi digunakan untuk penentuan juara.
Jika pasukan itu masih terikat sama mata selepas mengambil kira rekod pertemuan (head to head), Ahli Lembaga Pengarah MFL berkuasa akan mencari mekanisme lain untuk memutuskan pasukan pemenang.
Sumber : Fox Sports Asia
Kredit Foto : MFL