Syed Saddiq Jawab Respon TMJ, Man. City Benar Berhasrat Beli Kelab Liga Malaysia. Menteri KBS Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa Manchester City melalui City Football Group (CFG) benar-benar berhasrat mahu membeli sebuah pasukan dalam Liga Malaysia nyata bukan omong-omong kosong namun Syed Saddiq mengakui belum ada sebarang kata putus berkenaan perkara tersebut.
Menurut laporan daripada Harian Metro, ketika pertemuan di antara delegasi Manchester City bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, ada perbincangan dilakukan mengenai usaha untuk membeli sebuah pasukan bola sepak yang berpengkalan di Malaysia.
Syed Saddiq Jawab Respon TMJ, Man. City Benar Berhasrat Beli Kelab Liga Malaysia
“Pegawai saya dan pegawai mereka pun ada, semua dengar (berkaitan pembelian kelab Malaysia) dan sebelum sidang media juga saya memaklumkan untuk bercakap mengenai dua perkara berkenaan. Ia dipersetujui,” kata Syed Saddiq dalam Harian Metro.
Bagaimanapun, beberapa hari lalu, pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim aka Tunku Mahkota Johor menerusi muat naik ‘Instagram Stories’ di akaun @hrhcrownprinceofjohor menganggap perkara tersebut adalah satu perkara yang sengaja diperbesarkan.
Ianya turut diperkuatkan dengan ‘screenshot’ perbualan di antara baginda dan Tincho 2 dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Man. City, Ferran Soriano sendiri di mana keberadaan Ferran di Kuala Lumpur hanya untuk bertemu dengan penganjur serta mempelajari bola sepak Malaysia. Bukannya mahu membeli mana-mana pasukan di Liga Malaysia.
Sementara itu, Syed Saddiq mengakui usaha pembelian oleh kelab yang dibimbing oleh Pep Guardiola itu sememangnya belum mencapai keputusan muktamad. Namun demikian, beliau menegaskan pihaknya menerusi KBS akan berusaha untuk merealisasikan perkara tersebut demi kebaikan bola sepak tanah air.
“Kita akan cuba yang terbaik untuk menjadikan perkara itu terlaksana dan ketika itu memang masih belum ada kata putus lagi.
“Saya rasa ada orang yang tidak boleh menerima perkara ini. Bagaimanapun, bagi saya ia tidak mengapa, asalkan kami bekerja keras untuk menjadikan perkara ini bukan satu yang mustahil,” katanya lagi.
Sumber : Foxsport Asia
Foto Kredit : Syed Saddiq